Dunia Email ku

Just another WordPress.com weblog

Feng Shui tentukan Untung Rugi?

HASIL tinjauan penyelidik mendapati arkitek di Sydney dan Hong Kong secara umumnya bersetuju dengan kesempurnaan model berasaskan feng shui dalam pemilihan persekitaran bangunan dan perancangan dalaman.

Senario itu membuktikan konsep dipraktikkan masyarakat Cina sejak zaman berzaman masih diterima masyarakat moden hari ini – percaya kepada keuntungan, keselesaan dan kesejahteraan melalui ukurannya.

Apa tidaknya, Donald Trump, Putera Charles dan News Corporation iaitu satu konglomerat media terbesar dilaporkan turut merujuk kepada konsep feng shui dalam melangkah dunia kemegahan masing-masing.

Feng shui yang juga dikenali sebagai Kan-Yu bermaksud ‘Undang-undang Syurga dan Bumi adalah amalan digunakan orang Cina dari dulu lagi terutama dalam menempatkan dan menyusun ruang untuk memperoleh persekitaran harmoni.

Ia adalah satu disiplin membabitkan garis panduan sepadan dengan pelbagai teknik perancangan berkaitan seni bina malah ruang, udara, astronomi dan daya tarikan kemagnetan adalah asas komponennya.

Bagi penyokong feng shui, mereka mendakwa ia mempunyai kesan ke atas kesihatan, kekayaan dan hubungan peribadi.

Secara umumnya, feng shui seperti diamalkan hari ini bertujuan meletakkan persekitaran binaan manusia dengan qi (secara literalnya bermaksud udara dan dalam feng shui bermaksud aliran tenaga) yang baik.

Menurut konsep itu, tempat yang sempurna ialah di lokasi dan paksi sepadan pada satu masa manakala sesetengah kawasan lain tidak sesuai bagi penempatan manusia dan patut ditinggalkan.

Justeru, tidak mustahil bagi sesetengah orang yang mempercayai feng shui sanggup menjual rumah didiami dan membeli rumah lain walaupun menelan kos yang besar kerana percaya kepada ‘tuah’ feng shui.

Bagaimana pula sekiranya umat Islam turut merujuk konsep terbabit sama ada dalam pemilihan kediaman atau pejabat perniagaan?
 
Mempercayai untung rugi dan baik buruk sesuatu berasaskan konsep feng shui tidak betul kerana perkara seperti itu bersifat alami, termasuk kepercayaan khurafat.

“Orang jahiliah dulu percaya jika haiwan tertentu memasuki rumah mereka, ia dikatakan membawa sial tetapi apabila datangnya agama Islam, semua kepercayaan itu dibuang,” katanya.

Mempraktikkan sesuatu mengikut adat (kebiasaan) selagi tidak bertentangan dengan Islam adalah harus contohnya membina pintu menghadap arah kiblat diharuskan saja.
Ia boleh berubah menjadi haram sekiranya pihak terbabit mengatakan tidak boleh pintu ke arah lain, sehingga menjadi satu kemestian dan dibimbangi ada keburukan.

“Feng shui tidak boleh dijadikan panduan sehingga menyekat kemajuan. Rezeki dan untung rugi adalah dalam kekuasaan Allah, katanya.

Allah memberitahu hamba-Nya, konsep untung rugi adalah terbuka sebagaimana diterangkan dalam surah al-Jumuah, ayat 10, bermaksud:

Kemudian setelah selesai solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi, dan carilah apa yang kamu hajati daripada limpah kurnia Allah, serta ingatkanlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya di dunia dan di akhirat, katanya.

Islam menekankan rezeki yang berkat dan membuka alternatif sendiri untuk berjaya dalam segenap lapangan, seperti bangun awal pada waktu pagi sebelum waktu Subuh.

Mengikut konsep Ibn Khaldun dalam pemilihan lokasi kediaman, antara lain ialah rumah berdekatan kubur dengan tujuan mengingati mati dan disebabkan rumah Nabi Muhammad s.a.w juga berdekatan kubur.

“Sekiranya hendak membeli rumah, carilah rumah yang selesa, berdekatan tempat ibadat supaya mudah untuk berjemaah, jiran yang baik dan kemudahan selesa,” 

Beliau menyatakan beberapa panduan Islam mengenai pemilikan harta (rumah atau hartanah) iaitu hendaklah diperoleh secara sah menurut undang-undang, menunaikan tanggungjawab tertentu terhadap pemilikan harta kepada masyarakat dan negara seperti membayar zakat dan cukai.

Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci, pengeji, yang mengumpulkan harta dan berulang-ulang menghitung kekayaannya. Ia menyangka bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya (dalam dunia ini)! Tidak! Sesungguhnya dia akan dicampakkan ke dalam Al-Hutamah. (Lumazah:1-4) .

Berbanding dengan Islam yang melihat pemilikan harta secara umum, feng shui yang berasal dari tradisi lama orang Cina melihat kedudukan serta susun atur ruang rumah dan kawasan yang mesra alam sekitar.

“Ada yang menolak dan menganggapnya sebagai dongeng. Jika hanya sekadar mengetahui kedudukan rumah menghadap matahari atau tidak, ia boleh diterima tetapi apabila ada kepercayaan tertentu terhadap barang, ia tidak dapat diterima.

“Apa yang Islam mahukan ialah rumah dan penghuni mematuhi ajaran Islam. Kempen mengenai konsep dan falsafah Rumahku Syurgaku yang berasaskan syariat sesuai dengan Islam.

“Antara aspek yang ditekankan adalah membina kebahagiaan, meningkatkan daya intelek, mewujudkan suasana penghayatan Islam dan kedamaian dalam keluarga, penjagaan kesihatan, mewujudkan keselesaan serta keindahan dalam rumah.

“Malah, mengamalkan perhubungan yang baik dan berkesan serta membina sifat penyayang dan toleransi digalakkan di kalangan anggota keluarga. Itu yang lebih utama daripada feng shui yang hanya memberi fokus kepada fizikal saja.

August 20, 2009 - Posted by | ingin tahu?

No comments yet.

Leave a comment