Dunia Email ku

Just another WordPress.com weblog

Perkahwinan menurut Islam.

Perkahwinan dan Kasih Sayang
Hubungan kasih sayang antara suami isteri adalah di antara tanda-tanda kebesaran dan rahmat yang dianugerahkan oleh Allah swt kepada kaum manusia. Allah swt telah berfirman dalam Surah al-Rum 30:21:

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu pasangan-pasangan dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.

Al-Qur’an menganggap perkahwinan sebagai “perjanjian yang kuat” (Surah an-Nisa 4:21 ) dan ayat di atas mengajar kita bahawa ia adalah berasaskan perasaan kasih sayang dan kebaikan hati. Kesejahteraan rumahtangga timbul dari sikap saling hormat-menghormati, berlaku adil, bertolak-ansur dan berbelas kasihan antara kedua-dua pasangan perkahwinan itu.

Dalam masyarakat tradisional, peranan para suami dan bapa diletakkan sebagai penyara nafkah rumah tangga, manakala para isteri dan ibu pula berperanan sebagai suri rumah tangga. Kini keadaan masyarakat sudah berubah. Pada realitinya sekarang, ramai para suami, terutamanya dari golongan berpendapatan rendah dan sederhana, tidak lagi memainkan peranan sebagai penyara nafkah yang tunggal dalam keluarganya, dan ramai para isteri tidak lagi memainkan peranan sebagai suri rumah sahaja. Sebaliknya, ramai isi rumah golongan sederhana kini bergantung kepada sumbangan kewangan daripada pasangan suami isteri kedua-duanya.

Dalam konteks kehidupan masa kini di mana kedua-dua pasangan bekerja di luar rumah untuk menyara keluarga, masyarakat harus menilai kembali hak dan tanggungjawab suami isteri. Yakni satu penilaian yang mengimbangkan hak dan tanggungjawab masing-masing kerana ajaran Islam menganjurkan keharmonian, kesaksamaan dan keadilan dalam hubungan keluarga. Sepertimana firman Allah dalam Surah an-Nisa 4:19: “Hai orang-orang yang beriman … bergaullah kamu (para suami) dengan mereka (para isteri kamu) dengan cara yang baik”. Dan lagi dalam Surah al-Baqarah 2:187, “mereka (istermu) itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula pakaian bagi mereka.” Melalui ungkapan-ungkapan ini al-Quran jelas menekankan keharmonian material dan moral kehidupan berkeluarga.

Ini merupakan suatu cabaran masakini yang perlu dihadapi dengan kefahaman dan tindakan yang sewajarnya. Kurangnya kefahaman mengenai asas hubungan suami isteri telah membebankan pihak isteri dalam keadaan realiti masakini. Adalah tidak adil jika suami mempunyai jangkaan dan tuntutan yang tidak realistik dan bertimbang rasa – di samping isteri bekerja di luar rumah untuk membantu kewangan keluarga, isteri juga perlu membuat semua kerja rumah, mendidik anak, berdandan rapi dan bersedia untuk memuaskan suami di dalam kamar pada setiap masa. Sebaliknya suami membantu isteri membuat kerja rumah bukanlah sesuatu yang janggal atau bertentangan dengan ajaran agama. Malah ia adalah mengikut Sunnah Rasulallah (s.a.w) yang mana riwayat menunjukkan bahawa Nabi Muhammad (s.a.w.) sendiri membantu isteri membuat kerja rumah termasuk menjahit dan membasuh baju, walaupun baginda adalah Rasulullah (s.a.w) dan juga memegang peranan sebagai ketua pentadbir negara di Madinah.

Keluarga bahagia dibina berteraskan sifat-sifat kasih sayang, tolak-ansur, timbang-rasa dan saling hormat-menghormati. Kemusykilan dan masalah yang timbul di dalam keluarga haruslah diselesaikan dengan berbincang untuk mencapai persefahaman. Bak kata pepatah, lidah dan gigi lagikan tergigit. Apabila tergigit, berundinglah secara rasional dan terbuka supaya keputusan tidak berat sebelah dan mencemarkan kasih sayang.

Perkahwinan adalah satu tanggungjawab dan amanah yang harus dipikul oleh pasangan yang berkahwin. Demi melindungi hak serta memerabatkan kedudukan isteri, Rasulullah s.a.w. telah bersabda seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Majah, Abu Daud dan Ahmad, “Takutlah kamu kepada Allah dalam menghadapi wanita, kerana kamu menerima isteri berdasarkan amanah Allah”. Pasangan yang berkahwin bukan sahaja pemegang amanah Allah tetapi juga pemegang amanah keluarga yang telah merestui perkahwinan mereka dan amanah pasangannya yang telah memilihnya sebagai teman hidup.

Hak Mengenakan Syarat Dalam Perjanjian Perkahwinan
Oleh kerana perkahwinan dalam Islam adalah bersifat aqad atau pejanjian, pihak-pihak kepada perkahwinan itu bolehlah memasukkan syarat-syarat dalam perjanjian perkahwinan yang tidak membatalkan maksud atau tujuan perkahwinan itu.

Di Malaysia, syarat-syarat tertentu pada amnya dimasukkan dalam Surat Perakuan Ta’liq dalam borang yang ditetapkan bersama dengan Surat Perakuan Nikah. Surat Perakuan Ta’liq yang ditetapkan biasanya memberikan hak kepada pihak isteri untuk menuntut perceraian sekiranya pihak suami meninggalkannya atau tidak memberikannya nafkah selama tempoh empat bulan atau lebih, atau menyakiti badan pihak isteri. Di beberapa negara Islam lain, syarat-syarat yang hendak dimasukkan adalah terpulang kepada pasangan individu, dan syarat yang memberikan hak kepada pihak isteri menuntut perceraian sekiranya suaminya mengahwini perempuan lain juga dibenarkan, misalnya di Arab Saudi, Jordan, Maghribi, Mesir dan Iran .

Perjanjian yang dibuat sebelum perkahwinan adalah dibenarkan dalam Islam kerana ia bertujuan menjamin hak dan kepentingan pihak isteri sekiranya beliau diceraikan. Sebagaimana firman Allah swt di dalam Surah an-Nisa 4:128 ayat yang bermaksud: “Dan jika seorang wanita khuatir akan nusyuz (atau sikap tidak acuh) dari suamimu, maka tidak mengapa bagi keduanya mengadakan perdamaian yang sebenar-benar, dan perdamaian itu lebih baik (bagi mereka), walaupun manusia itu menurut tabiatnya kikir. Dan jika kamu bergaul dengan isteri secara baik dan memelihara dirimu (dari nusyuz) maka sesungguhnya Allah maha mengetahui yang kamu kerjakan.”

Sehubungan itu, wanita boleh membuat perjanjian sebelum perkahwinan dalam perkara tertentu demi menjamin hak beliau dengan lebih terperinci. Islam menyebutnya sebagai ta’liq di mana syarat-syarat tertentu diberikan oleh pihak perempuan kepada lelaki sekiranya ingin berkahwin dan ia akan mengikat kedua belah pihak. Hadith Rasulullah (saw) yan diriwayatkan oleh Sahih Muslim dan Sunan Abu Dawud menyebutkan “Syarat yang paling patut dipenuhi olehmu ialah yang menjadikan persetubuhan (dengan isterimu) halal untukmu.”

Dalam Surat Perakuan Nikah pengantin di Malaysia , ia hanya terhad kepada syarat suami tidak memberi nafkah selama empat bulan atau lebih, suami meninggalkan isteri dan suami mencederakan dan menyakiti isteri. Jika perjanjian tersebut diingkari, pihak yang menuntut boleh menuntut di mahkamah syariah terhadap pihak yang melanggar perjanjian. Dengan kata lain, isteri berhak mendapat cerai dalam keadaan tertentu sekiranya suami melanggar syarat yang telah dipersetujui oleh mereka dalam perjanjian yang dikenali sebagai Tafwid al-Talaq.

Selain syarat yang disebut di dalam Surat Perakuan Nikah tersebut, perjanjian lain yang dibuat oleh seorang perempuan sebelum berkahwin dibolehkan dalam Islam. Perjanjian ini boleh dikuatkuasa di mahkamah kerana ia mengikat di antara pihak-pihak yang dipertikai. Perjanjian itu juga mestilah disetemkan dan disaksikan oleh saksi-saksi yang adil dan boleh dipercayai. Bagaimana pun, syarat yang dikenakan pada masa perkahwinan mestilah sesuatu yang sah seperti mas kahwin, nafkah dan cara hidup yang baik. Misalnya, perempuan berkahwin dengan syarat suaminya tidak akan membawanya dari tempat di mana dia tinggal. Dengan ada perjanjian tersebut, suaminya tidak berhak membawa isteri berpindah melainkan dengan persetujuan isteri.

Jika terdapat janji bahawa isteri mempunyai kuasa untuk menceraikan dirinya sendiri, maka isteri dikira mempunyai kuasa untuk berbuat demikian jika suami tidak memenuhi janji. Selain itu, butir-butir perjanjian yang boleh dibuat oleh seseorang wanita sebelum perkahwinan ialah berkaitan dengan hak harta, maskahwin dan pemberian, poligami, hadhanah (jagaan anak) dan nafkah anak-anak, tebus talak atau khulu’ dan mut’ah.

Hak harta berkenaan berapakah nafkah yang akan diberikan selepas bercerai serta hak wanita bersuami untuk memperolehi, memegang dan melupuskan mana-mana harta dari semua segi sebagaimana perempuan bujang. Wanita juga boleh membuat perjanjian tentang harga sepencarian di bawah hak harta. Bagi mas kahwin dan pemberian pula, seksyen 21 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) mempastikan hak wanita terhadap perkahwinan yang mana pemberian dicatat dengan teratur dan dapat dipastikan dengan tepat jika ia dibayar dan membuat tuntutan jika tidak.

Dari segi poligami, Seksyen 23 memperuntukan secara jelas bahawa lelaki yang ingin berpoligami harus mendapat persetujuan bertulis daripada hakim syarie dan beliau perlu mematuhi beberapa syarat. Dalam hal ini, pihak isteri boleh membuat perjanjian sekiranya selepas perkahwinan suami ingin berkahwin lain berkaitan harta, kewajipan beliau, masa giliran dan lain-lain.

Begitu juga dengan hadhanah dan nafkah anak-anak, tebus talak atau khul’ dan mut’ah (bayaran saguhati/pampasan yang diberikan kepada isteri yang diceraikan) yang mana isteri boleh meletakkan syarat atau janji di dalam ta’liq.

Perkahwinan dan Undang-Undang Keluarga Islam

Di Malaysia, tiap-tiap Negeri mempunyai enakmen undang-undang keluarga Islam masing-masing. Walaubagaimanapun, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 boleh dikatakan sebagai model kebanyakkan peruntukan-peruntuk an itu, walaupun terdapat juga pindaan atau pengubahsuaian yang telah dibuat ke dalam enakmen-enakmen di beberapa Negeri yang menimbulkan beberapa perbezaan di antara perundangan tersebut, misalnya berkenaan dengan peruntukan mengenai poligami.

Pernikahan adalah kontrak persetujuan yang berlandaskan persefahaman di antara sepasang suami-isteri yang saling setuju-menyetujui sesama sendiri. Perkahwinan di bawah undang-undang Islam adalah bersifat aqad atau kontrak, yakni perjanjian, yang berdasarkan ijab dan qabul (tawaran dan penerimaan). Tawaran itu dibuat, dari segi prinsipnya, oleh pihak pengantin perempuan, melalui walinya, dan penerimaan dibuat oleh pengantin lelaki atau wakilnya.

Umur minimum perkahwinan
Seksyen 8 Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 memperuntukkan bahawa tiada seseuatu perkahwinan boleh diakadnikahkan di bawah Akta ini jika lelaki itu berumur kurang daripada lapan belas tahun atau perempuan itu kurang daripada enam belas tahun kecuali jika Hakim Syar’i telah memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu.

Persetujuan dikehendaki
Seksyen 13 Akta tersebut menghendaki persetujuan kedua-dua pihak kepada perkahwinan itu, dan persetujuan wali pihak perempuan atau Hakim Syar’i yang mempunyai bidangkuasa sebagai wali Raja mengikut Hukum Syara’ (hukum mengikut mana-mana mazhab yang sah) jika perempuan itu tidak mempunyai wali nasab (pertalian darah) atau wali nasab tidak dapat dikesan atau wali nasab enggan memberi persetujuan tanpa sebab yang cukup. Sekiranya wali nasab enggan, maka pihak perempuan boleh merujuk kepada Mahkamah Syariah untuk memohon bagi kebenaran perkahwinan secara wali Raja.

Pendaftaran perkahwinan
Seksyen 22 Akta tersebut memperuntukkan bahawa selepas sahaja akadnikah sesuatu perkahwinan dilakukan, Pendaftar hendaklah mencatatkan butir-butir yang ditetapkan dan ta’liq (perjanjian yang dibuat oleh suami selepas akad nikah) yang ditetapkan atau ta’liq lain (syarat-syarat tambahan) bagi perkahwinan itu di dalam Daftar Perkahwinan.

August 21, 2009 - Posted by | Keluarga

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: