Dunia Email ku

Just another WordPress.com weblog

Kekuatan ilmu berlandas hikmah asas peradaban insan sejagat

AL-QURAN memberikan landasan bahawa diutuskan Rasul bagi membawa rahmat bagi seluruh alam. Konteks rahmah alamiah ini menjadi asas penting bagi tasawwur Islami atau “world-view” Islam.

Islam bukanlah agama ras atau bangsa yang berkembang dalam skop budaya terbatas. Nilai Islam yang ditertibkan oleh faktor syarak sifatnya merentasi budaya dan daerah geografi.

Tamadun Islam pada masa lalu menjadi tunjangan kepada tamadun Eropah dan akhirnya tamadun dunia. Ilmu yang berkembang dalam zaman gemilangnya menjadi suluh peradaban yang amat membanggakan.

Oleh itu Risalah Kenabian atau Nubuwwah membawa maksud Islam bukanlah agama khusus untuk bangsa Arab saja, tetapi landasan perkembangannya di bumi Arab memberi kesan alamiah yang luar biasa.

Islam sebagai sifatnya agama dakwah tidak terbina dalam keadaan statik. Hasil dukungan dai’, murabbi dan ilmuwan, ia berkembang ke seluruh pelusuk dunia dengan menampilkan risalah yang sama, iaitu membawa manusia kembali kepada hidup yang fitrah.

Tersebarnya Islam ke seluruh dunia bersebab dari faktor alamiah yang juga Allah. Rahmah dalam erti kata konsep wehdah atau kesatuan adalah tunjang kepada perkembangan agama tauhid ini. Lahirnya bangsa yang pelbagai adalah suatu fitrah dan diiktiraf oleh Allah (Al Hujurat: 13). Tetapi Allah memberikan asas bagi berlakunya kesalingan (litaarrafu) yang sifatnya merentasi kaum dan budaya. Allah mengekalkan faktor ras bagi sesuatu bangsa tetapi dalam masa yang sama Allah memberi rahmah kesejagatan dengan menghubungkan faktor ras ditindikkan dengan faktor ummah.

Contohnya, ada beza konsep bangsa Melayu dengan umat Melayu. Pendewasaan bangsa Melayu tanpa dukungan agama tidak menjadikannya memiliki rahmah alamiah, tetapi menghubungkan rahmah alamiah dalam pengertian ummah kepada bangsa Melayu memberikan asas tamadun yang sifatnya sejagat. Hal yang sama juga boleh berlaku kepada bangsa lain yang apabila dihubungkan dengan faktor alamiah ini menjadikannya sebahagian daripada konsep ummah yang satu.

Umat Arab, Turki, Amerika Syarikat, Cina, India dan lainnya memberikan konotasi atau makna bahawa kewujudan sesuatu bangsa itu adalah sesuatu yang fitrah. Apabila sesuatu bangsa itu menghubungkan dirinya dengan konsep yang ummatik, bangsa itu bakal dewasa dalam pembentukan tasawwur yang menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai sumbernya, Rasulullah sebagai qudwahnya, faktor syarak sebagai jalan ikutannya. Meskipun, ada kelainan dalam faktor fiqh menangani faktor setempat namun konsep wehdah menjadikan bangsa yang ada berkembang dalam wilayah pengaruh masing-masing dan memiliki faktor alamiah yang nyata. Sifat kesejagatan inilah yang akhirnya melahirkan tamadun Islam yang mampu bertahan lebih 700 tahun dalam lingkungan ‘ummatan wasata’ atau umat terbaik (khaira ummah).

Satu aspek yang sangat menarik dalam memahami rahmah alamiah ialah menerusi perkembangan ilmu. Ilmu dalam tradisi Islam sifatnya sepadu dan memiliki faktor pemersatu (wehdah). Ilmu yang berasaskan faktor rabbani (ilmu wahyu) menjadi sumber penting dalam pembentukan akidah, sahsiah dan ibadat, di samping mentatacarakan kehidupan manusia atas dukungan syariah dan fiqh. Ia menjadi jalan pembentukan nilai yang amat diperlukan oleh manusia.

Tanpa nilai, manusia kehilangan ukur tara untuk membezakan yang baik dengan buruk, makruf dengan mungkar, adil dengan zalim, jujur dengan dusta, ikhlas dengan munafik, amanah dengan curang dan sebagainya.

Allah menggariskan nilai itu, sebagai asas memahami diri, kehidupan dan hubungan kehidupan dengan persekitaran.

Pada masa sama, Allah memberikan manusia akal membolehkannya berfikir,

tahu akan sesuatu dan menerima maklumat berguna sebagai faktor pengukuh dan alat mengembangkan ilmu rabbani.

Ilmuwan silam dalam tradisi Islam cuba melakukan integrasi di antara kedua-duanya hingga melahirkan hikmah (wisdom) yang luar biasa sifatnya sehingga perkembangan ilmu tidak hanya terbatas dalam bidang usuluddin dan syariah. Malah, nilai rabbaniah ditautkan dengan disiplin perubatan, sains, teknologi, falsafah, seni bina dan astronomi tanpa menghilangkan dimensi menegak dengan Allah (hablummina’llah) dan dimensi merentas dengan manusia (hablum minannas).

Hari ini, perkembangan ilmu sudah jauh terpisah dengan hikmah. Ilmu dijadikan alat dan sekali gus matlamat semata-mata untuk faktor duniawi seperti sumber membangunkan kekuatan ekonomi, teknologi, ketenteraan dan kebudayaan. Ini supaya sesuatu kuasa dapat memaksakan visi dan misi globalisasinya ke atas kuasa lain tanpa mengambil kira tertib hak asasi dan nilai kemanusiaan.

Pertimbangan ekonomi lebih banyak menumpu kepada perspektif pertumbuhan yang menafikan pembabitan adil dan seimbang dari kuasa yang lebih kecil. Pertimbangan teknologi pula dalam banyak hal mengekalkan keupayaan kuasa lain hanya dalam batas pengguna yang setia. Pertimbangan ketenteraan hanya membawa kuasa lain tunduk dengan kehebatan peralatan canggih yang mampu mereka hasilkan dan menafikan perkembangan teknologi ketenteraan kuasa lain. Pertimbangan kebudayaan yang sifatnya popular untuk menimbulkan minat konsumerisme- hedonistik (keseronokan) yang membantu mempercepatkan keruntuhan akhlak dan adab insan.

Situasi yang menggerhanakan martabat dan peradaban insan ini memerlukan jalan kembali supaya faktor globalisasi atau pensejagatan kembali kepada fitrah dirinya, iaitu maju dan berubah atas landasan mengukuhkan nilai murni, adab dan tamadun yang meletakkan insan sentiasa dalam lingkungan rahmah.

Misi rasul sebagai pendukung konsep rahmah alamiah seharusnya menjadi teras membangunkan umat manusia. Ini supaya acuan pembangunan dan perubahan menjadikan faktor pembangunan diri insan yang utama, di samping pembangunan ilmu alat yang amat berguna dalam pengurusan hidup dan sistem. Ilmu Islam yang asalnya sepadu harus mampu memainkan fungsi memperbetulkan tasawwur, pembangunan dan perubahan yang tempang dengan nilai murninya.

Memurnikan kembali kekuatan ilmu adalah asas membangun semula peradaban insan supaya tidak saja faktor duniawi menjadi gelanggang memimpin insan, malah faktor ukhrawi dijadikan pertimbangan natijah akhirnya insan. Perspektif ini amat penting bagi manusia untuk kembali kepada nilai manusiawi seperti yang digambarkan dalam qudwah rasul dan jejak sunnahnya.

November 20, 2011 - Posted by | Amalan

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: